21 Sept 2012

365 hari mencintai Rasulullah


365 hari, mencintai Rasulullah saw…bagaimana untuk kita merealisasikannya? Bagaimana mencintai Rasulullah di abad 21 yg penuh tragis dek duniawi semata?  Suatu persoalan dan perkara yang patut kita renung dan fikirkan bersama.  Kita adalah Ummat Rasulullah SAW , yang hidup sangat jauuuuuh selepas wafatnya baginda SAW.  Logikkah untuk kita mencinta, merindui, mengasihi seseorang yang hidup lebih 1400 tahun dahulu? Sedangkan wajahnya pun kita tak pernah lihat, keperibadiannya pun kita tidak pernah tenungkan. Selogiknya amat payah….

Namun, hadith ada menceritakan mengenai betapa Baginda sangat rindu akan ummatnya yang belum wujud lagi diketika baginda masih hidup

Suatu hari, ketika Rasulullah dalam perjalanan pulang dari Haji Wida’,baginda menangis.Sahabat pun bertanya:”Kenapa kamu menangis wahai Rasulullah?”, Baginda menjawab: “Aku merindui saudaraku”, Sahabat bertanya: “Bukankah kami ini saudaramu wahai Rasulullah?”,Baginda menjawab:”Kamu semua bukan saudaraku tetapi sahabatku,Saudara ku ialah mereka yang datang selepasku, beriman kepadaku walaupun tidak pernah melihatku, Aku merindui mereka,kerana itulah aku menangis”

Subhanallah..cuba tanyakan diri kita, bagaimana Rasulullah SAW boleh merindui kita, mencintai kita sedangkan Baginda tidak pernah melihat kita, tidak tahu keperibadian kita. Bagaimana Rasulullah SAW sampai menangis kerana begitu kasihkan dan rindukan kita? Sehinggakan Baginda menggelar kita Saudara (Ikhwan). Sungguh mesra istilah itu. Saudara itu adalah insan-insan yang rapat dengan kita. Hubungan adik-beradik, yang mempunyai pertalian darah..  Itulah perhubungan yang Nabi wujudkan antara ummatnya kini dengan Baginda. 

Kasih sayang dan kecintaan Baginda pada ummatnya kini tidak dapat di sangkal dek sebarang alsan mahupun hujah lagi. Seperti yang dikisahkan, suatu hari Nabi Muhammad SAW membacakan ayat yang pernah dibacakan oleh Nabi Ibrahim. Ayat tersebut dipetik dari Surah Ibrahim, ayat 36:



"..sesiapa Yang menurutku (dalam Islam Yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa Yang menderhaka kepadaKu (dengan menyalahi ugamaku), maka Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat)"

Maka Rasulullah SAW menangis yang teramat kuat. Sehinggakan Allah mengutuskan Malaikat Jibril untuk turun dan bertanya kepada Rasulullah SAW (pastinya Allah SWT maha Mengetahui segalanya). Ketika Jibril bertanya kenapa Rasulullah SAW menangis, Baginda menjawab sambil menangis; "Ummatku, Ummatku, Ummatku ya Jibril" Jibril naik dan berceritakan kepada Allah SWT. Allah memeirntahkan Jibril turun kembali dan mengatakan kepada Rasulullah SAW, "katakanlah padanya ya JIbril bahawa Kami(Allah) akan meredhoi Ummatmu ya Muhammad dan Kami tidak akan menzalimimu"

Risaunya baginda kepada kita… Betapa Cintanya baginda kepada kita… Baginda kerap kali menangis kerana Ummatnya, kerana mengingati Ummatnya, kerana rindu ummatnya. Tetapi kita….. untuk menggungkap selawat ke atas Baginda pun amat sukar sekali, apatah lagi mengingati Baginda…. :( 

Suatu kisah Nabi ketika di Thaif. Ketika baginda dibaling batu oleh penduduk Thaif kerana ingin berdakwah kepada mereka. Dan ketika malaikat yang menjaga gunung turun dan memberi tawaran untuk menghancurkan gunung-gunung supaya penduduk Thaif mati ditindih. Namun, Nabi tetap menuturkan, "Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah, pada satu masa nanti anak-anak mereka akan menyembah Allah dan berbakti kepadaNya.”

Subhanallah. Maha Suci Allah yang menciptakan seorang Nabi yang sangat penyayang kepada Ummatnya. Jadi kita sebagai ummatnya realisasikan lah cinta pada Baginda selama 365 hari. Selama mana yang mungkin. Sematkan di hati, iaitu beriman dengan sepenuhnya kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan salah satu rukun iman kita. Bacalah dan cuba amalkan sunnah-sunnah Baginda kerana Baginda pernah bersabda, "sesiapa yang tidak mengikuti Sunnah ku, bukan dari kalanganku". 

Selain itu, carilah kitab-kitab hadith, kisah-kisah hidup yang menceritakan keperibadian Rasulullah SAW. Bagaimana baginda berjalan, bagaimana baginda ketawa, bagaimana rupa baginda yang lebih dari kecantikan bulan dan bermacam lagi. Tanamkan azam untuk membaca Sirah Baginda Rasulullah SAW. Jika buku novel cinta kita mampu habiskan, buku tokoh-tokoh barat kita mampu habiskan kenapa tidak Sirah Nabi kita sendiri. Semoga Allah mempermudahkan kita untuk terus mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW dan seterusnya kita terpilih untuk menjadi Ummat yang diberikan Syafaat oleh Baginda di akhirat kelak… InsyaAllah.


p/s : hati cuba sekerap mungkin mengingati dan mencontohi Nabi SAW. kami cinta Rasulullah saw...


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...