11 Mar 2012

Bila sebut fasal baitul muslim

     Seperti biasa, usai seminggu dua sahaja selepas taklimat atau 'pencerahan' baitul muslim  kepada bakal-bakal graduasi, permintaan dan permohonan semakin 'kencang'. Galak   sungguh. Apabila sahaja baitul muslim dijadikan tajuk utama dalam sesi kuliah, liqa, rehlah, atau usrah...beginilah jadinya. Mungkin tersuntik kesedaran. Namun harus ingat, unit baitul    muslim bukan agen mencari jodoh. Yang iklannya sentiasa perlu dicanang untuk mencari pelanggan. Kesedaran tentang hakikat pembinaan baitul muslim perlu ada dalam diri masing-masing sedari dinobat menjadi insan terpilih oleh Allah sebagai pendokong Islam.

Agendakan baitul muslim dalam diri
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir” (Ar-Rum: 21)
Allah menjadikan setiap manusia dan golongan itu ada cabarannya sendiri. Sehebat mana pun insan itu, tidak terlepas dari cabaran dan ujiannya terutama dalam hal baitul muslim. Bersyukurlah bagi mereka yang mampu melepasi ujian ini dan moga setiap dari kita mampu melepasinya.



Cabaran pertama ialah kesediaan ahli memilih dan menerima bakal pasangan dari kalangan mereka yang berada di lapangan amal jama’i. Cabarannya lebih tinggi kepada pihak muslimah berbanding pihak muslimin. Ini menyebabkan lebih ramai ahli-ahli muslimah yang belum berumahtangga meskipun mereka telah bekerja dan bersedia untuk itu.


Mengapa perkara ini berlaku? Antaranya ialah kurangnya memberi keutamaan untuk mendirikan rumah tangga yang bermatlamatkan amal jama’i atau perjuangan. Barangkali mereka lebih suka memikirkan untuk mencari pasangan yang beragama sahaja, namun tidak meneliti dari sudut perjuangan. Kedua, tidak memanfaatkan sumber yang ada untuk mendapatkan pasangan.


Ketika berada di dalam kampus, bersama dalam pelajaran, bersama dalam persatuan, bersama dalam perjuangan… meskipun dalam pergaulan yang berlandaskan syariat, adakah mereka tidak mengenali dan menginginkan agar seseorang itu menjadi pasangannya? Allah telah menetapkan mereka untuk berada di dalam golongan yang sekufu dari sudut bidang tugas dan kefahaman, tentunya terdapat hikmah Allah untuk mereka membina kehidupan berumahtangga dengan pasangan seperjuangan. Namun apabila perasaan ini wujud, ramai di kalangan mereka yang memendamkannya sahaja terutama di kalangan muslimat kerana halangan perasaan malu, menyangka masih terlalu awal, takut orang kata dan sebagainya.


Akibat daripada itu, beberapa perkara mungkin berlaku. Antaranya:
1. Orang yang diingininya memilih orang lain menyebabkan dirinya kecewa.
2. Orang lain datang meminang yang bukan dari kalangan rakan seperjuangan.
3. Memilih orang lain kerana menyangka dirinya tidak sesuai untuk rakan seperjuangan.
… akhirnya mereka tidak mempunyai pasangan sehingga keluar kampus dan bekerja.


Apabila telah melangkah keluar kampus, ternyata lebih sukar mencari pasangan. Apatah lagi telah menjadi orang yang sangat sibuk dan disegani masyarakat. Tidak ramai yang berani ‘bertanya khabar’. Melihat kesibukan seorang doktor, pensyarah, pegawai ramai yang ‘angkat tangan’. Terlihat berat mata memandang, berat lagi jika telah menjadi pasangan. “Aku tidak sekufu dengannya…” Keluh seorang pemuda. Sukarnya bagi seorang yang berjawatan tinggi mendapat pasangan hidup setelah berada di luar kampus. Lebih sukar dari seorang guru KAFA dan kerani sekolah.


Oleh itu, manfaatkanlah masa emas ketika di kampus. Siapa yang lebih memahami tugas kita kalau tidak sahabat kita? Siapa yang lebih memahami gerakerja kita kalau tidak sahabat kita? Siapa yang lebih memahami hasrat hati kita untuk membina baitul muslim demi meneruskan kerja-kerja amal jama’i kalau tidak di kalangan kita? Maka, tidak sayugia perasaan malu, takut dan lainnya menjadi penghalang niat suci yang akan membanggakan Nabi.



Sememangnya fitrah manusia telah diciptakan oleh Allah tidak dapat lari dari ingin berpasangan (berkahwin). Apatah lagi apabila sampai usianya. Tidak kira ketika itu dia seorang pelajar ataupun sudah bekerja. Sirah Nabi telah menjelaskan bahawa Siti Khadijah r.ha sendiri yang mula mencintai Rasulullah SAW lantas menyuarakan keinginannya melalui orang tengah yang dipercayai iaitu Nafisah binti Manbah agar merisik Rasulullah SAW untuk dirinya. Rasulullah SAW menyambut baik tawaran itu dan memberitahu kepada bapa-bapa saudaranya. Akhirnya melalui bapa saudara baginda yang bernama Amru bin Asad, Rasulullah meminang Khadijah r.ha. Jika direnung kembali, bukankah peristiwa ini sungguh memberikan erti yang cukup relevan untuk penyelesaian masalah baitul muslim? Sunnah itu telah ditunjukkan oleh Allah dengan jalan terbaik yang dilakukan oleh baginda, maka bukankah sewajarnya kita perlu mengikuti sesuatu yang terbaik dari Rasulullah SAW sendiri?


Kenapa unit baitul muslim?


“Kalaulah ada tempat mengadu….” Fatimah mengeluh…
“Ada…” Jawab Muslihah lembut yang merupakan kawan baik Fatimah selama ini.
“Siapa?” Tanya Fatimah pantas.
Muslihah berfikir sejenak. “Ustazah Solehah kan dia naqibah kita.. Apa kata kalau kita minta tolong dia?” Jawab Muslihah yakin.
“Ishh… tak naklah… aku seganlah kat dia…” Fatimah memuncungkan bibirnya tidak setuju. Setelah beberapa minit berfikir, dia berkata lagi; “Engkau tak boleh ke uruskan untuk aku?” Soal Fatimah lagi.
Muslihah agak terkejut, berfikir sejenak lalu berkata; “Kalau engkau percaya kat aku, okey. Aku akan uruskan untuk engkau!”
“Tapi ingat! biar pecah diperut jangan pecah dimulut tau!” Fatimah memegang kemas tangan Muslihah. Mereka berdua ketawa sambil meninggalkan tempat tersebut dengan riang.


Itu merupakan sebahagian dari gambaran perjalanan Unit Baitul Muslim (UBM). Peringkat inilah peringkat yang sangat sukar. Untuk mengatakan “ya” ataupun “tidak”. Jika peringkat ini dapat dilepasi, peringkat seterusnya menjadi lebih mudah. Dengan adanya orang tengah sebagai tempat mengadu akan menjadikan gerakerja bagi mencapai matlamat baitul muslim dapat dilaksanakan. Kadangkala orang tengah itu adalah sahabat baik si calon sendiri. Kadangkala orang tengah itu adalah UBM kerana si calon tidak mahu meluahkan rahsia hatinya kepada sesiapa. Ini biasa berlaku secara informal. Dengan adanya sistem dan institusi UBM, ianya menjadi lebih mudah dan berkesan.


Gerakerja UBM ini hanya akan berlangsung bila diberi kepercayaan oleh calon. Manakala kepercayaan adalah amanah yang semestinya dipelihara secara profesional oleh UBM sebagaimana kepercayaan mereka yang mengamanahkannya. Perlu diingat, perasaan hati merupakan rahsia yang sangat dalam. Rasa malu bagi si calon sangat besar. Lebih besar dari sebuah gunung yang akan menghempap dirinya. Hanya orang yang sangat dipercayai sahaja yang boleh berkongsi isi hatinya. Namun, tidak semua orang boleh memberikan kepercayaan kepada orang yang sama. Jadi, semua orang perlu berperanan menjadi orang tengah bagi sahabatnya. Ada ketikanya si calon tidak meminta orang tengah menguruskannya, tetapi apabila ‘kesnya’ sampai ke pengetahuan UBM (melalui orang tengah tersebut), maka pihak UBM akan segera menyelesaikannya bagi pihak calon.


Ada juga kes tertentu yang si calon tidak pernah mengadu. Seperti tidak risau dan mengendahkan soal baitul muslim. Hidupnya seperti biasa, ceria, cergas dalam apa jua… Sahabat-sahabatnyalah yang perlu berperanan memikul tanggungjawab bertanya khabar dan seterusnya menyelami isi hati mereka. Dalam beberapa kes, UBM sendiri juga perlu berperanan sedemikian.

Pentingnya membina baitul muslim

Kita perlu sedar akan hakikat perkahwinan yang perlu dibina demi penerusan perjuangan. Binalah gambaran yang terindah bagi menjadikan indahnya alam perkahwinan apabila dilakukan atas matlamat perjuangan. Jika kita berjaya mewujudkan bahawa perjuangan itu matlamat paling utama, maka keinginan-keinganan nafsu yang lain itu boleh diletakkan ke tepi. Tidak keterlaluan kalau dinyatakan bahawa kebanyakan dari kita masih meletakkan kecantikan dan sifat-sifat fizikal yang lain di tempat pertama. Ada juga yang menambahkan kedaerahan antara syaratnya. Ini semua akan membantutkan kejayaan kita. Rasulullah SAW sendiri mengahwini Saudah bt. Zam’ah r.ha yang pada ketika itu sudahpun berumur lanjut, menikahi Zainab binti Jahsy r.ha yang merupakan bekas isteri anak angkatnya sendiri. Menikahi Mariah Al-Qibtiyah seorang hamba dari Mesir yang beribu kilometer jaraknya. Malah semua isteri Rasulullah SAW merupakan janda kecuali Aisyah r.ha. Bukankah contoh terbaik dari baginda bahawa perkahwinan yang terbaik ialah perkahwinan demi perjuangan?

Baitul muslim yang terbina sesama ahli akan memudahkan perjuangan. Masing-masing telah pun faham dan bersedia untuk menginfakkan diri dan masa untuk amal jama’i. Tidak perlu memperuntukkan masa tambahan untuk ‘mentarbiyah’ pasangan sebelum mendapat lampu hijau untuk aktiviti jamaah apatah lagi dalam kesibukan tugas yang tidak mengenal masa. Malah masing-masing boleh bahu-membahu dalam memikul tugas dan amanah amal jama’i disamping bantu-membantu dalam menyelesaikan tugasan rumahtangga. Salah faham menjadi kurang, anak-anak dapat membina kecemerlangan syahsiyah dan pendidikan dalam suasana rumah tangga yang harmoni dan bi’ah yang solehah. Rumahtangga akan menjadi harmoni dan memancarkan cahaya hidayah. Semua urusan menjadi lebih mudah dan ringan. Hanya perlu fokus untuk mencari redha dan  syurga Allah melalui amanah kerja dan amanah gerakerja amal jama’i. Bukankah ini merupakan suatu yang cukup indah dalam pembinaan baitul muslim?

Sememangnya tidak semua perancangan itu akan dapat terlaksana sepenuhnya. Malah ada yang mempunyai pasangan yang sama-sama faham, tiba-tiba menjadi pasif apabila berhadapan dengan ujian kehidupan di dalam masyarakat. Jika ini berlaku, itu semua adalah pilihan individu. Di peringkat unit baitul muslim kita perlu melaksanakan yang terbaik untuk mereka. Usaha kita adalah untuk mengurangkan ‘keciciran’ dan meningkatkan ahli yang komited. Kita serahkan kepada Allah selebihnya kerana hanya kepada-Nya kita bertawakal.

Apapun, sesiapa tidak pernah menghalang ahli dari memilih pasangan dari kalangan 'orang lain'. Asalkan matlamat akhir kita tidak terpesong iaitu untuk Islam dan amal jama’i. Hanya dari sudut perjuangan, semestinya, sentiasa mengharapkan agar semua permasalahan termasuk baitul muslim dapat diselesaikan dengan cara yang sebaiknya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...