30 Apr 2012

Bersih 3.0 ; Pergi demo bawa isteri?

Sudah dua hari berlalu, 'ibu perhimpunan', Bersih 3.0. Topiknya tetap hangat diperkatakan, disegenap ruang bicara mulut, televisyen, akhbar, facebook, youtube, blog. Setiap yang pergi ingin perkatakan sesuatu. Masing-masing ada pengalaman. Mempertahankan segala komen-komen membina dan meruntuh. Bukan untuk berbangga, tetapi terasa tanggungjawab di kedua belah bahu untuk mempertahankan perhimpunan Bersih 3.0 yang disertai, yang sepatutnya menjadi himpunan yang aman.


Dan saya.... Saya gembira kerana dapat menjadi antara ratusan ribu rakyat Malaysia yang mampu untuk memahat lekukan sejarah di Bersih 3.0. Bukanlah pengalaman Bersih 3.0 yang ingin saya
ceritakan. Kerana apalah ada pada pengalaman saya yang tidak seberapa ini. Pergi dengan niat, saya juga seorang pejuang ! Tiada alasan kecuali Allah SWT Berkehendakkannya. 


Dalam posisi perjuangan lingkungan saya, tiada yang seangkatan saya. Hanya suami teman perjuangan. Namun itu juga bukan alasan. Alhamdulillah, istiqamah dari Allah tetap ada untuk saya dan suami. Jadi, dimana ada suami, di situ ada saya. Perjuangan sering menjadi topik rumah tangga kami. Alhamdulillah, saya bukan isteri yang hanya tahu duduk di dapur di saat sang suami memercik keringat dalam berjuang. 


Bersih 3.0 sekali lagi membawa saya keseorangan tanpa teman sama jantina. Hampir lima tahun tempoh saya dalam keadaan begitu tidak membuatkan saya kekok lagi. Asalkan suami ada di sisi. Allah SWT tidak pernah membeza-bezakan golongan lelaki dan perempuan di dalam berjuang. Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab yang sama dalam menegakkan agama Islam di bumi ini. Tidak pula di letakkan golongan muslimat hanya berjuang 20 % sahaja atau dalam nilaian-nilaian tertentu. Asalkan segalanya mengikut syariat dan tidak melampaui batas. Selagi Allah redha.


Namun, ada lelaki atau muslimin yang memandang enteng perjuangan muslimat. Muslimat tidak sepatutnya begini, muslimat tidak sepatutnya begitu. Muslimat mesti begini, muslimat mesti begitu. Dan tidak keterlaluan jika saya katakan insan-insan yang berkata begini adalah golongan-golongan yang memahami Islam atau lebih tepat lagi golongan ustaz-ustaz. Apa yang mereka fahami, saya juga tidak tahu. Pemikiran dan pandangan mereka merencatkan semangat muslimat untuk berjuang dan sekaligus muslimatlah menjadi golongan 'Mutasaqqitun' (golongan yang tercicir di medan dakwah) yang paling ramai.


Peristiwa ketika on the way ke Bersih 3.0 membuatkan saya untuk menulis hal ini. Kata seorang yang bergelar ustaz muda (belajar di Mesir) pada suami saya. 


" Pergi demo pun bawa isteri ke?" . Berdesing telinga saya mendengar. 


Dia tidak menyedari kehadiran saya disitu, lantas saya menjawab.
"Allah tidak pernah mengenal jantina untuk bertanyakan apa yang kamu lakukan untuk Islam? Ustaz tak kenal dengan Asma' Abu Bakar, Nusaibah binti Ka'ab? Ustaz mesti lebih kenal dari saya sebab ustaz belajar agama kan," lancar mulut saya berbicara. 


Juga dengan bantuan Allah untuk ilhamkan kata-kata itu. Dia diam tidak membalas sambil terus menikmati makan malamnya.


Jika diberikan kesempatan untuk saya berkata-kata dengan ustaz itu lagi, mahu saja saya ceritakan kembali kisah Nabi Ibrahim walaupun saya tahu dia pasti tahu kisah ini.



Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali. 
Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain yang kehairanan melihat perlakuan burung kecil, lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Wahai pipit, apa yang engkau mahu lakukan?” tanya makhluk Allah yang lain. 
“Aku mahu membantu Nabi Ibrahim. Aku mahu padamkan api yang membakar Nabi Ibrahim,” jawab burung pipit. 
“Macam mana kamu mahu padamkan api itu. Kamu tidak mampu membawa air yang banyak. Paruh yang kamu ada itu kecil, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu. Sia-sia saja usaha kamu itu,” kata burung lain pula. 
Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

p/s : saya sedih dan kecewa kerana ramai muslimat 'tiada' selepas berkahwin.  







3 comments:

  1. Alhamdulillah..dipermudahkan untuk berjuang bersama2 zauji.. ~diriku juga idamkan hal yang sama..permudahkanlah yaa Allah!

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..Segala Puji Bagi Allah..namun dugaan Allah itu tiada hentinya untuk setiap hambaNya yg mengaku beriman..tintakemudi doakan saudari wan syahira akn mendapat yg terbaik, insyaAllah !

    ReplyDelete
  3. amiiin...amiiin...amiin...~jadi yang terrbaik sebelum Allah pertemukan dengan yg terrbaik buat diri ini,insyaAllah..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...