12 Feb 2012

Tak payah jadi alim sangat

Sudah sebulan anak kecil perempuan itu bergelar Murid Darjah Satu. Seronok katanya bersekolah. Lantas dia melontarkan permintaan kepada ibunya. 


" Mama, nanti pergi sekolah kakak nak pakai tudung boleh? Semua kawan-kawan kakak pakai tudung. Boleh,mama?"


"Ish!! tak payah ler, tak payah nak jadi alim sangat. Tak payah gatal nak pakai tudung pulak" jawab si ibu . Seakan mengejek permintaan si anak.


Aku yang mendengar jadi kaget. Dalam hati ' boleh dia
cakap macam tu kat anak dia? ada lagi orang macam ni?'. Yang biasa aku dengar, si ibu suruh anak pakai tudung, tetapi anak tak nak.. tapi ni sebaliknya pula. 


Namun sebenarnya, sudah beberapa kali diriku kaget dengan kenyataan-kenyataan sang ibu yang sebegitu. Pernah suatu ketika, bersama seorang teman menemui kenalannya. 


" Akak bukan apa, akak suka tengok anak-anak akak pakai seksi-seksi ni, comel nampak..akak tak suka anak-anak akak kecil-kecil lagi dah pakai tudung, pakai tutup sana sini...rimaslah tengok. Lagipun akak takut dia tak puas berfesyen pula. Akak nak dia enjoy puas-puas dengan rambut dan baju yang macam-macam fesyen. Belom masanya dia nak tutup sana sini. Akak tak nak dia tutup awal-awal, nanti bila dah besar dia boring, dia buka semula tudung dan nak bergaya macam orang lain...Haa, masa tu nanti akak takut dia salahkan akak pulak sebab tak bagi dia berfesyen masa kecil-kecil dulu..biarlah dia nak pakai apa pun".


Panjang lebar dia menerangkan 'tips didik anak' pada kami setelah temanku membuka kisah ramai anak-anak kecil sudah di ajar bertudung. Simpati aku dengan sang ibu sebegini. Lebih simpati lagi pada sang suami kepada sang ibu itu. Dimana peranannya sebagai pembimbing keluarga. Tidak gerunkah dia dengan dosa isteri dan anak-anak yang perlu digalasnya. 




Dalam mendidik anak perempuan, antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa adalah pemakaiannya. Naluri untuk berpakaian cantik sudah semestinya ada, namun ia harus dipastikan agar sentiasa patuh syariat.


Mendidik anak-anak perempuan untuk memakai pakaian yang menutup aurat, harus dimulakan sejak mereka kecil, untuk membiasakan mereka dengan tudung dan baju labuh walaupun dalam keadaan yang tidak menyelesakan. Jika tidak diasuh sejak kecil, khuatir nanti bila tiba saat dia wajib mengenakan pakaian yang menutup aurat, rasa tidak selesa dan tidak biasa akan menghalang dirinya dari melaksanakan perintah Allah.


Harus diingat, bahawa anak-anak perempuan (yang telah baligh) yang keluar tanpa menutup aurat akan mendatangkan dosa buat ayahnya. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W bersabda:


Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki) yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh ahlinya ( isteri dan keluarganya)


Ayuh! didiklah anak-anak untuk menutup aurat walau di mana jua mereka berada. Wahai muslimah, jika sayangkan ayahmu, tutuplah aurat dengan sempurna. Apakah kita redha ayah kita menjadi bahan bakar api neraka kerana keengganan kita untuk menutup aurat dengan sempurna.


Semoga semua yang bergelar anak perempuan tidak akan menjadikan ayahnya seorang yang dayus.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...